KUALA LUMPUR: Maybank, Nestle dan PETRONAS dipilih sebagai majikan pilihan dalam kalangan mahasiswa sempena Anugerah Pilihan Graduan 2018 hari ini.
PETRONAS memenangi anugerah Jenama Majikan Siswazah Terbaik 2018 di bawah kategori kejuruteraan, manakala Maybank menenangi kategori perbankan, sambil AirAsia dan Sunway Group masing-masing bagi kategori e-dagang dan hartanah.
Pemenang anugerah lain termasuk Ikea Malaysia menerusi kategori peruncitan, AIA Bhd dalam kategori insurans dan Nestle dalam kategori FMCG.
Anugerah berkenaan disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Sektor Swasta), Jabatan Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Dr Mohd Nor Azman Hassan yang mewakili Menteri Pelajaran, Dr Maszlee Malik.
Dr Mohd Nor Azman berkata, Anugerah Pilihan Graduan meraikan dan mengiktiraf kecemerlangan dalam kalangan organisasi yang berusaha merapatkan jurang antara industri dan akademik.
“Ini adalah penting untuk mencapai komitmen kerajaan dalam usaha mengubah sistem pendidikan Malaysia agar dapat bersaing dengan iklim industri global yang sentiasa berubah dan tidak menentu,” katanya.
Anugerah sulung itu menyaksikan mahasiswa universiti daripada lebih 100 kampus di seluruh negara mengundi untuk jenama pilihan mereka dalam kalangan 360 syarikat yang dicalonkan dalam 10 kategori berlainan.