Graduates' Choice of Employers
Share

[Kampus UOLS] Maybank, Nestle, Petronas majikan pilihan siswazah

KUALA LUMPUR – Maybank, Nestle dan Petronas diumum sebagai majikan pilihan utama mahasiswa pada majlis Anugerah Pilihan Siswazah 2018.

Anugerah yang julung kali diadakan itu menyaksikan mahasiswa dari lebih 100 kampus di seluruh negara memilih jenama majikan pilihan mereka dari 360 syarikat yang dicalonkan dalam 10 kategori.

Petronas memenangi Jenama Majikan Siswazah Terbaik 2018 di bawah kategori kejuruteraan, manakala Maybank memenangi kategori perbankan dan Nestle dalam kategori produk pengguna laris (FMCG).

Pemenang lain termasuk AirAsia (kategori e-dagang), Sunway Group (hartanah) dan IKEA Malaysia (runcit).

AIA Bhd pula memenangi dalam kategori insurans, Shell Business Operations (perkhidmatan berkongsi), Microsoft (ICT) sementara PWC Malaysia (perkhidmatan perakaunan & profesional).

Lebih 400 tetamu dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta, pemimpin pelajar dan wakil dari pelbagai organisasi korporat menghadiri majlis berkenaan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid. Ia dianjurkan oleh HRINCAMPUS.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Sektor Swasta) Kementerian Pendidikan Dr Mohd Nor Azman Hassan mewakili Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, pada majlis penyampaian anugerah itu.

Mohd Nor Azman berkata GCA 2018 mengiktiraf kecemerlangan organisasi yang berusaha dalam merapatkan jurang antara industri dan akademik.

“Ini penting untuk mencapai komitmen kerajaan untuk mengubah sistem pendidikan Malaysia agar dapat bersaing dengan iklim industri global yang sentiasa berubah dan naik,” katanya.

Sementara itu, pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif HRINCAMPUS, Ben Ho berkata GCA 2018 mencatat kejayaan dengan penyertaan besar dari organisasi korporat dan universiti.

“Saya percaya ini menunjukkan para majikan memahami betapa pentingnya untuk mendekati pelajar dan mengambil siswazah baharu menjadi sebahagian daripada proses pengambilan pekerja mereka,” katanya.- Bernama

Artikel Penuh: https://kampusuols.com/article/422995/U-In-News/SEL-KL/Maybank-Nestle-Petronas-majikan-pilihan-siswazah