KUALA LUMPUR: Tinjauan dijalankan syarikat pengambilan siswazah, Talentbank, baru-baru ini mendapati siswazah lelaki dan wanita di negara ini mengutamakan gaji dan bonus dalam pilihan pekerjaan mereka.
Tinjauan mendapati gaji dan bonus adalah pilihan utama daripada lima keutamaan yang dicari oleh mahasiswa di tempat kerja ideal mereka, selain peluang pengembangan kerjaya, bos dan pemimpin yang baik, peluang belajar dan pembangunan, budaya syarikat yang baik dan waktu kerja yang fleksibel.
Tinjauan dilakukan oleh syarikat pengambilan pekerja itu membabitkan lebih 24,000 pelajar yang memilih dalam Anugerah Pilihan Graduan Tahunan (GCA) ketiga, yang mana mereka turut memilih 10 Majikan Pilihan Graduan Untuk Bekerja 2021 – Maybank, Google, Microsoft Malaysia, Petroliam Nasional Berhad, Shopee Malaysia, Intel Malaysia, CIMB, Shell Malaysia, Celcom Axiata Berhad dan PwC Malaysia.
Pelajar dari universiti awam dan swasta di seluruh negara memilih jenama majikan pilihan yang paling menarik untuk bekerja daripada senarai 700 syarikat di 35 industri dalam survei selama 12 bulan yang dijalankan bermula 1 September 2019 hingga 31 Ogos 2020.
Ho berkata selain menyedari komitmen yang dibuat oleh majikan, anugerah berprestij itu juga menjadi rujukan bagi siswazah baharu untuk membantu mereka membezakan kelebihan syarikat berkenaan ketika mereka memohon pekerjaan pertama setelah tamat pengajian.
“Kepentingan imej jenama majikan yang hebat tidak boleh dipandang rendah. Ini membantu organisasi untuk menjadi tarikan kepada bakat yang tepat,” katanya.
Survei GCA keempat kini dibuka dari 1 September tahun ini hingga 30 Jun 2021 untuk pelajar universiti dan graduan dengan kad pengenalan pelajar yang sah untuk mengundi Jenama Majikan Terbaik di www.award.com.my/vote. – BERNAMA
Source: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/11/754510/bhplus